Label Cloud

Wednesday, February 11, 2009

Analisis: Arahan Meletak Jawatan MB Menurut Undang-undang - by Andak kmu forumer


1. Mengapa Nizar Jamaluddin Perlu Meletakkan Jawatan Sebagai MB Perak?

Kerana perintah meletakkan jawatan telah dititahkan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada 5 Februari 2009:


YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah dititah menghadap Baginda untuk dimaklumkan mengenai keputusan Baginda tidak membubarkan Dewan dan selaras dengan peruntukan XVI(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, DYMM Paduka Seri Sultan Perak menitahkan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama-sama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) berkuat kuasa serta merta.

Sekiranya YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli MMK, maka jawatan Menteri Besar serta ahli-ahli MMK tersebut dianggap telah dikosongkan. 1


2. Mengapa Perintah Meletakkan Jawatan MB Ini Dikeluarkan?

Perintah ini telah dikeluarkan Pejabat DYMM Paduka Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Baginda, YDH Toh Raja Diraja Kol. Datuk Abd Rahim Mohamad Nor, kerana Nizar Jamaluddin telah didapati hilang sokongan majoriti ADUN Perak:


Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib memaklumkan bahawa Barisan Nasional dan penyokong-penyokongnya kini yang terdiri daripada 31 orang ahli Dewan Negeri telah menguasai majoriti di kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.

Atas titah Duli Yang Maha Mulia untuk memaklumkan Baginda bahawa maklumat yang dipersembahkan itu adalah tepat, kesemua 31 orang ahli Dewan Negeri tersebut telah dititah menghadap Paduka Seri Sultan.

Setelah menemui sendiri kesemua 31 ahli-ahli Dewan tersebut, DYMM Paduka Seri Sultan Perak telah yakin bahawa YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah berhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar (ceases to command the confidence of the majority) dari kalangan ahli-ahli Dewan Negeri. 1


3. Mengapa Nizar Jamaluddin Tidak Mahu Meletakkan Jawatan?

Berikut adalah sebab-sebab yang diberikan oleh Nizar untuk tidak meletakkan jawatan:


Berhubung kecelaruan isu 'letak jawatan' atau 'lucut jawatan' saya sebagai Menteri Besar, suka saya jelaskan kepada seluruh rakyat negeri Perak bahawa Perkara 16(6) Undang-Undang Perlembagaan Negeri dengan terang menyatakan bahawa 'lucut jawatan' saya hanya boleh berlaku melalui 3 kaedah iaitu :

Pertama – pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Kedua – undi tidak percaya dalam sidang khas Dewan Undangan Negeri.

Ketiga – saya meletak jawatan secara sukarela. 2


4. Adakah Perletakan Jawatan MB Hanya Boleh Berlaku Melalui '3 Kaedah' Yang Disebutkan Oleh Nizar?

Tidak.

Mengikut Artikel 16 (6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan (juga digelar Perak Constitution/Perlembagaan Negeri Perak):


If the Mentri Besar ceases to command the confidence of the majority of the members of the Legislative Assembly, then, unless at his request His Royal Highness dissolves the Legislative Assembly, he shall tender the resignation of the Executive Council.


Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan menyatakan bahawa Menteri Besar hendaklah meletakkan jawatan apabila beliau berhenti mendapat kepercayaan majoriti ADUN (ceases to command the confidence of the majority of the members of the Legislative Assembly).

Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan tidak menyebut perkara-perkara berikut:

a. Kepercayaan majoriti ADUN hanya boleh diketahui melalui sidang Dewan Negeri;

b. Dewan Negeri perlu dibubarkan terlebih dahulu sebelum MB boleh meletakkan jawatan.


5. Mengapakah Nizar Jamaluddin Mahu Mengadakan Sidang Dewan Negeri?

Nizar Jamaluddin bertegas mahu mengadakan sidang Dewan Negeri kerana:

a. Beliau pasti bahawa Yang DiPertua Dewan Negeri Perak (juga digelar Speaker), V. Sivakumar, yang juga merupakan ADUN Tronoh daripada parti DAP, akan menghalang 3 ADUN bebas yang menyokong BN daripada memasuki sidang. Ini kerana V. Sivakumar menganggap bahawa 3 ADUN bebas berkenaan telah meletakkan jawatan masing-masing sebagai ADUN;

b. Beliau mahukan sebarang 'undi tidak percaya' terhadap beliau yang bakal diusulkan oleh mana-mana ADUN BN, tidak akan dapat mencapai sebarang keputusan muktamad. Ini kerana, jumlah ADUN yang menganggotai BN dan PR adalah sama: masing-masing 28 orang. Tanpa penyertaan oleh 3 ADUN bebas ke dalam sidang Dewan Negeri, tiada keputusan muktamad dapat dicapai;

c. Beliau mengharapkan kebuntuan dalam mencapai keputusan muktamad akan mewujudkan situasi "hung parliament", yang akan mengakibatkan tekanan sehingga akhirnya memaksa pilihanraya diadakan. Menurut Siddiq Azani dari Fakulti Undang-undang UiTM Malaysia:


"Hung parliament" bermaksud tiada majoriti jelas dalam sesebuah Dewan Rakyat atau DUN. Sebagai contoh, parti A mempunyai 89 kerusi dan parti B 88 kerusi, atau kedua-dua sama 89 kerusi, dalam situasi ini lebih elok diadakan pilihanraya semula kerana beza kerusi cukup tipis. Walaubagaimanapun tidak wujud situasi "hung parliament" di Perak ketika ini kerana BN memiliki majoriti 3 kerusi. Dan seperkara lagi yang harus diambil kira ialah jumlah kerusi yang terdapat di Perak ialah 59 kerusi. Perbezaan jelas dan tiada masalah kerana perbezaan ialah 3 kerusi daripada 59 kerusi merupakan suatu jumlah yang jelas. 3


6. Mengapakah 'Perletakan Jawatan' 3 ADUN Bebas Yang Menyokong BN Ditolak?

'Perletakan jawatan' 3 ADUN bebas yang menyokong BN ditolak oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kerana sebab-sebab berikut:

a. Wujud keraguan terhadap surat perletakan jawatan;

Menurut Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusuf: SPR telah meneliti secara mendalam dan rapi daripada pelbagai sudut perundangan dan dengan ini memaklumkan bahawa SPR mendapati wujud keraguan terhadap surat peletakan jawatan oleh penyandang kedua-dua kerusi berkenaan. 4

b. Surat perletakan jawatan telah disahkan tidak berkuatkuasa oleh ADUN sendiri;
Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusuf menyatakan bahawa:

Ia juga memandangkan kedua-dua ADUN itu secara sedar telah mengesahkan bahawa surat-surat berkenaan tidak berkuat kuasa. 4

Surat-surat perletakan jawatan yang dihantar kepada Yang DiPertua Dewan Negeri Perak, V. Sivakumar, juga sebenarnya tidak dihantar oleh ketiga-tiga ADUN bebas tersebut.

V. Sivakumar, dalam satu kenyataan yang difakskan kepada media, mendakwa ADUN Behrang Jamaluddin Mat Radzi dan ADUN Changkat Jering Mohd Osman Jailu menyerahkan surat peletakan jawatan mereka ke rumah beliau pada jam 5.45 petang, 1 Februari 2009. 5

Perkara ini telah dinafikan oleh kedua-dua ADUN berkenaan dan laporan polis telah dibuat. Sehingga kini, pihak yang menghantar surat-surat perletakan jawatan berkenaan masih belum dikenalpasti.

Surat-surat perletakan jawatan berkenaan merupakan surat-surat tidak bertarikh yang ditandatangani selepas PRU ke-12, 8 Mac 2008. 6

7. Adakah Arahan Meletak Jawatan MB Perak Sah Di Sisi Perlembagaan Persekutuan?

Ya.

Menurut Siddiq Azani: Perlembagaan Persekutuan dalam artikel 43(2)(a) jelas menyatakan bahawa Yang Dipertuan Agong berhak melantik ketua eksekutif yang telah mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat. Benar dakwaan Nizar mengatakan bahawa Sultan bertindak atas nasihat beliau sebagai ketua kerajaan. Ini termaktub di dalam artikel 40(1) dan 40(1A) yang terdapat didalam perlembagaan. Namun Nizar harus membaca Artikel 40(2)(a), (b), dan (c) bersama. Ini kerana ia jelas menyatakan hak esklusif Sultan yang boleh bertindak sendirian tanpa mengikuti nasihat beliau di dalam perkara membabitkan perlantikan ketua kerajaan (selagi beliau mematuhi provisio dalam 43(2)(a)), kedua baginda mempunyai kuasa untuk TIDAK MEMBUBARKAN DEWAN PERWAKILAN (Parliament atau DUN Negeri), dan terakhir memanggil semua Raja-raja untuk mesyuarat Majlis Raja-raja.

Berikut merupakan provisio yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi berdasarkan Akta Interpretasi, ia diaplikasi kepada semua perlembagaan negeri kerana perlembagaan negeri mesti sama dengan perlembagaan persekutuan. Berbalik kepada perlembagaan di Perak, Artikel 16 Fasal 7 Perlembagaan Negeri Perak menyebut seseorang anggota majlis selain MB (Menteri Besar) memegang jawatan atas perkenan Sultan. Dengan lain perkataan, MB tidak boleh dipecat. Klausa ini telah disalah tafsir oleh pemimpin dan penyokong Pakatan pembangkang. Benar seorang Menteri Besar tidak boleh dipecat oleh Sultan jika Menteri Besar itu masih mempunyai sokongan majoriti Dewan perwakilan. Tetapi jika keadaan sebaliknya, Sultan mempunyai hak untuk memecat MB. 3


Berikut ialah Perlembagaan Persekutuan, Perkara 40, Fasal (2)(a), (b) dan (c):


(2) Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:

(a) melantik seorang Perdana Menteri;
(b) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen;
(c) meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu, dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan ini.

8. Sekiranya MB Enggan Meletak Jawatan, Bolehkah Sultan Memecat Beliau?

Boleh.

Menurut Akta Interpretasi:

ELEVENTH SCHEDULE PROVISIONS OF THE INTERPRETATION AND GENERAL CLAUSES ORDINANCE, 1948 (MALAYAN UNION ORDINANCE NO. 7 OF 1948), APPLIED FOR INTERPRETATION OF THE CONSTITUTION

29. Power to appoint includes power to dismiss - Where a written law confers upon any person or authority a power to make appointments to any office or place, the power shall, unless the contrary intention appears, be construed as including a power to dismiss or suspend any person appointed and to appoint another person temporarily in the place of any person so suspended or in place of any sick or absent holder of such office or place:


9. Adakah Sultan Telah Memecat Nizar Jamaluddin Selaku MB Perak?

Walaupun istilah keras seperti 'dipecat' atau 'dilucut' tidak digunakan, Sultan telah menitahkan agar Nizar Jamaluddin meletakkan jawatan, dan sekiranya beliau tidak meletakkan jawatan, jawatan itu akan dianggap telah dikosongkan:


Sekiranya YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli MMK, maka jawatan Menteri Besar serta ahli-ahli MMK tersebut dianggap telah dikosongkan. 1


10. Adakah Penentuan Samada Seseorang 'Mendapat Kepercayaan Majoriti Ahli Dewan' Hanya Boleh Dibuat Melalui 'Undi Tidak Percaya'?

Tidak.

Situasi berikut dinyatakan dalam undang-undang Malaysia:

a. Perlembagaan Persekutuan - "tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan";

b. Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan - "ceases to command the confidence of the majority".

Walau bagaimanapun, kaedah menentukan situasi tersebut wujud tidak disebutkan.

Ini disokong oleh Profesor dan Penasihat Undang-undang UiTM, Dr. Shad Saleem Faruqi, ketika menerangkan isu Anwar Ibrahim mahu membentang 'undi tidak percaya' terhadap Pak Lah pada April tahun lepas:


Faruqi, however, felt that Article 43(4) of the Federal Constitution allowed for a vote of no-confidence against the prime minister and the government.

He said there was, however, no specific procedure for such a move and that it could come in the form of a motion tabled by a member of parliament. 7


DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, telah bertitah mengarahkan kesemua 31 orang ADUN Perak yang menyokong BN untuk menghadap baginda bagi mengetahui pendirian mereka masing-masing.

Tindakan ini:

a. Tidak menyalahi mana-mana undang-undang;

b. Tiada undang-undang yang menyatakan bahawa ia tidak boleh dianggap sebagai suatu kaedah yang sah untuk menentukan bahawa Nizar telah berhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar dari kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.
1. "Kenyataan Media Pejabat DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan," 5 Februari, 2009,
Kenyataan Media Pejabat DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan

IPOH, 5 Feb (Bernama) -- Berikut ialah kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan Perak Sultan Azlan Shah yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Baginda, YDH Toh Raja Diraja Kol. Datuk Abd Rahim Mohamad Nor.

KENYATAAN MEDIA PEJABAT D.Y.M.M. PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN

"Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan pada 4 Februari (semalam) memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga memohon menghadap Baginda atas kapasitinya sebagai Pengerusi Barisan Nasional Negeri Perak dan telah diberi perkenan menghadap Baginda pada pagi 5 Februari 2009.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib memaklumkan bahawa Barisan Nasional dan penyokong-penyokongnya kini yang terdiri daripada 31 orang ahli Dewan Negeri telah menguasai majoriti di kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.

Atas titah Duli Yang Maha Mulia untuk memaklumkan Baginda bahawa maklumat yang dipersembahkan itu adalah tepat, kesemua 31 orang ahli Dewan Negeri tersebut telah dititah menghadap Paduka Seri Sultan.

Setelah menemui sendiri kesemua 31 ahli-ahli Dewan tersebut, DYMM Paduka Seri Sultan Perak telah yakin bahawa YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah berhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar (ceases to command the confidence of the majority) dari kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak juga telah menimbangkan dengan sedalam-dalamnya permohonan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin pada 4 Februari 2009 memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak. Baginda menggunakan budi bicara Baginda di bawah XVIII (2)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan dan tidak berkenan membubarkan Dewan Negeri Perak.

YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah dititah menghadap Baginda untuk dimaklumkan mengenai keputusan Baginda tidak membubarkan Dewan dan selaras dengan peruntukan XVI(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, DYMM Paduka Seri Sultan Perak menitahkan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama-sama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) berkuat kuasa serta merta.

Sekiranya YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli MMK, maka jawatan Menteri Besar serta ahli-ahli MMK tersebut dianggap telah dikosongkan.

Kenyataan ini dikeluarkan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan."

-- BERNAMA


2. "Perutusan MB Perak, YAB Dato’ Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin," 8 Februari, 2009,

Perutusan MB Perak, YAB Dato’ Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin

Dengan penuh rasa tanggungjawab, sukacita saya menyatakan bahawa perlantikan Menteri Besar baru itu sesungguhnya adalah tidak mengikut Undang-Undang Perlembagaan Negeri sebagaimana sepatutnya.

BismilahirRahmanirRahim.

Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT atas kesihatan tubuh badan dan kesabaran yang dianugerahkanNya kepada saya dan seluruh rakyat negeri Perak Darul Ridzuan.

Saya mengambil kesempatan ini untuk menerangkan beberapa perkara berkaitan perkembangan krisis di negeri Perak terutamanya selepas upacara angkat sumpah Menteri Besar baru negeri ini yang berlangsung di Istana Iskandariah petang tadi.

Dengan penuh rasa tanggungjawab, sukacita saya menyatakan bahawa perlantikan Menteri Besar baru itu sesungguhnya adalah tidak mengikut Undang-Undang Perlembagaan Negeri sebagaimana sepatutnya.

Apabila saya tidak meletak jawatan seperti yang dititahkan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, sebenarnya saya telah pun meneliti semua undang-undang dan peraturan yang berkaitan serta telah mendapatkan pandangan dan nasihat daripada ahli dan pakar undang-undang.

Permohonan saya kepada DYMM Sultan untuk mendapatkan perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri adalah menepati dan mengikut peruntukan Undang-Undang Perlembagaan Negeri

secara jelas dan pasti. Perlembagaan memperuntukkan dengan jelas bahawa pembubaran DUN sepatutnya telah pun berlaku setelah permohonan perkenan saya kemukakan kepada DYMM Tuanku Sultan.

Saya juga yakin bahawa pembubaran DUN adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan kemelut politik negeri Perak. Biarlah rakyat membuat keputusan. Saya percaya bahawa rakyat berhak membuat keputusan berkenaan parti manakah yang rakyat mahu berikan mandat sebagai kerajaan. Keputusan menyerahkan penentuan itu kepada rakyat adalah bertepatan dengan prinsip demokrasi dan sistem Raja berperlembagaan yang dijunjung bersama.

UMNO telah mencemarkan Institusi Raja melalui konspirasi yang sangat kotor semata-mata kerana dendam kesumat dan nafsu melampau untuk memerintah. Mereka sanggup mengheret Institusi Raja kepada kecelaruan yang boleh menjejaskan penghormatan dan sanjungan rakyat terhadap istana.

Tiga Kaedah ‘Lucut Jawatan’ Menteri Besar

Berhubung kecelaruan isu ‘letak jawatan’ atau ‘lucut jawatan’ saya sebagai Menteri Besar, suka saya jelaskan kepada seluruh rakyat negeri Perak bahawa Perkara 16(6) Undang-Undang Perlembagaan Negeri dengan terang menyatakan bahawa ‘lucut jawatan’ saya hanya boleh berlaku melalui 3 kaedah iaitu :

Pertama – pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Kedua – undi tidak percaya dalam sidang khas Dewan Undangan Negeri.

Ketiga – saya meletak jawatan secara sukarela.

Tetapi apa yang terjadi sekarang, tiada mana-mana satu pun di antara 3 kaedah itu berlaku. Saya tidak meletak jawatan. Pembubaran DUN tidak berlaku. Belum lagi berlangsung sidang khas atau apa-apa sidang membincangkan usul undi tidak percaya terhadap saya. Maka bagaimana boleh dikatakan saya bukan lagi Menteri Besar Perak?

Apabila saya masih lagi Menteri Besar Perak yang sah mengikut undang-undang, maka adalah ganjil apabila dilantik seorang Menteri Besar yang baru. Bukan saja ganjil, tapi salah. Perlantikan Menteri Besar hanya boleh atau perlu dibuat apabila berlaku kekosongan jawatan itu. Sehingga saat ini saya masih MB mengikut perlembagaan. Belum berlaku kekosongan. Saya MB yang sah manakala Dato’ Dr. Zambry adalah MB tidak sah atau MB haram.

Fitnah Media Kawalan UMNO – Saya Nak Saman Sultan, Saya Arahkan Rakyat Memberontak dan Saya Menjerit Di Pejabat

Hari ini timbul isu bahawa saya akan saman DYMM Tuanku Sultan. TV1 dan TV2 serta semua saluran TV milik Media Prima menyiarkan berita itu. Ini adalah satu fitnah yang sangat dahsyat. Tohmahan jahat ini dicipta oleh UMNO untuk menimbulkan kebencian orang ramai khususnya rakyat negeri Perak terhadap saya dan Pakatan Rakyat. Mereka mengulas isu ini secara terarah untuk menjauhkan kita dari istana. Mereka mencipta tuduhan ini untuk membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap saya dan Pakatan Rakyat dengan tujuan menenggelamkan perbincangan tentang pencabulan undang-undang yang mereka lakukan demi merampas kuasa.

Saya juga dituduh menggerak dan mengarahkan rakyat supaya bangkit menentang istana. Media yang dikuasai UMNO menggambarkan saya bertanggungjawab ke atas perhimpunan rakyat yang berlaku di merata tempat dalam masa beberapa hari ini termasuk himpunan di Kuala Kangsar yang tercetus kekecohan.

Sehubungan dengan itu, saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya segala tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadap saya. Saya tidak mengeluarkan apa-apa arahan kepada rakyat untuk maksud berhimpun menyatakan bantahan kepada istana. Semua ini adalah propaganda UMNO.

Media elektronik yang dipengaruhi UMNO juga memutarbelit laporan mengenai insiden di pejabat saya iaitu pejabat Menteri Besar pagi tadi. Mereka melaporkan bahawa saya ‘menjerit’ ketika kekecohan semasa kehadiran puluhan wartawan.

Sebenarnya yang menjerit itu bukan saya. Yang menjerit ialah Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri iaitu Dato’ Dr. Abdul Rahman Hashim yang menghalau wartawan supaya keluar dari bilik itu. Wartawan dalam dan luar negeri menjadi saksi tindakan primitif Setiausaha Kerajaan Negeri yang menghalau petugas media di hadapan saya.

Saya tegaskan sekali lagi bahawa bukan saya yang menjerit seperti dilaporkan oleh media elektronik pengampu UMNO. Saya nafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu. Anda boleh saksikan sendiri video yang sempat dirakamkan oleh salah seorang wartawan ketika insiden itu. Dato’ Dr. Abdul Rahman Hashim yang menjerit.

Sukacita saya menyatakan sekali lagi bahawa saya menyanjung tinggi Institusi Istana sepanjang sepuluh bulan lebih saya memikul amanah ini dan saya telah memberikan kepatuhan saya kepada DYMM Tuanku Sultan dengan sepenuh jiwa dan raga. Dalam perkara yang sedang berlaku ini, saya sebenarnya bermaksud membela dan mempertahankan Institusi Diraja bahkan Institusi Kesultanan Melayu seluruhnya supaya tidak dipandang memihak kepada mana-mana kumpulan dalam isu ini. Saya tidak rela rakyat menganggap Istana menyebelahi mana-mana pihak. Saya ingin menyelamatkan istana daripada tohmahan rakyat. Saya ingin memelihara kepercayaan rakyat kepada institusi ini iaitu institusi yang luhur dan adil.

Pesanan Kepada Seluruh Rakyat Negeri Perak

Saya merayu kepada seluruh rakyat negeri Perak supaya janganlah bertindak diluar batasan. Apa yang kita lakukan adalah usaha menuntut keadilan serta menuntut diberikan hak kepada rakyat untuk membuat pilihan sepertimana yang dijamin oleh perlembagaan.

Terimakasih kepada semua rakyat negeri Perak atas sokongan, pandangan dan ucap selamat yang diberikan kepada saya. Saya sudahi dengan wabillahi taufiq wal hidayah wassalamu alaikum warahmatullah.

3. "Krisis di Perak: Penjelasan Dari Sudut Undang-undang (Penyokong Pakatan Harap Baca)," 7 Februari, 2009. - Oleh : Siddiq Azani, Fakulti Undang-undang UiTM Malaysia.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Daulat Tuanku. Daulat Tuanku. Daulat Tuanku. Saya akan kemukakan fakta berlandaskan undang-undang yang terdapat dalam Perlembagaan negeri Perak dan Perlembagaan Persekutuan. Sesungguhnya tindakan meyaman sultan merupakan tindakan biadap dan tergopoh gapah. Menyedihkan apabila tajuk posting terbaru Anwar Ibrahim berbunyi : Constitutional crisis caused by the Sultan, yang jelas merujuk kepada DYMM Sultan Azlan Shah, Sultan Perak Darul Ridzuan.

Mengapa Nizar Harus Letak Jawatan

Perlembagaan Persekutuan dalam artikel 43(2)(a) jelas menyatakan bahawa Yang Dipertuan Agong berhak melantik ketua eksekutif yang telah mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat. Benar dakwaan Nizar mengatakan bahawa Sultan bertindak atas nasihat beliau sebagai ketua kerajaan. Ini termaktub di dalam artikel 40(1) dan 40(1A) yang terdapat didalam perlembagaan. Namun Nizar harus membaca Artikel 40(2)(a), (b), dan (c) bersama. Ini kerana ia jelas menyatakan hak esklusif Sultan yang boleh bertindak sendirian tanpa mengikuti nasihat beliau di dalam perkara membabitkan perlantikan ketua kerajaan (selagi beliau mematuhi provisio dalam 43(2)(a)), kedua baginda mempunyai kuasa untuk TIDAK MEMBUBARKAN DEWAN PERWAKILAN (Parliament atau DUN Negeri), dan terakhir memanggil semua Raja-raja untuk mesyuarat Majlis Raja-raja.

Berikut merupakan provisio yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi berdasarkan Akta Interpretasi, ia diaplikasi kepada semua perlembagaan negeri kerana perlembagaan negeri mesti sama dengan perlembagaan persekutuan. Berbalik kepada perlembagaan di Perak, Artikel 16 Fasal 7 Perlembagaan Negeri Perak menyebut seseorang anggota majlis selain MB (Menteri Besar) memegang jawatan atas perkenan Sultan. Dengan lain perkataan, MB tidak boleh dipecat. Klausa ini telah disalah tafsir oleh pemimpin dan penyokong Pakatan pembangkang. Benar seorang Menteri Besar tidak boleh dipecat oleh Sultan jika Menteri Besar itu masih mempunyai sokongan majoriti Dewan perwakilan. Tetapi jika keadaan sebaliknya, Sultan mempunyai hak untuk memecat MB.

Hung Parliament

“Hung parliament” bermaksud tiada majoriti jelas dalam sesebuah Dewan Rakyat atau DUN. Sebagai contoh, parti A mempunyai 89 kerusi dan parti B 88 kerusi, atau kedua-dua sama 89 kerusi, dalam situasi ini lebih elok diadakan pilihanraya semula kerana beza kerusi cukup tipis. Walaubagaimanapun tidak wujud situasi “hung parliament” di Perak ketika ini kerana BN memiliki majoriti 3 kerusi. Dan seperkara lagi yang harus diambil kira ialah jumlah kerusi yang terdapat di Perak ialah 59 kerusi. Perbezaan jelas dan tiada masalah kerana perbezaan ialah 3 kerusi daripada 59 kerusi merupakan suatu jumlah yang jelas.

3 ADUN Sudah jumpa Sultan

Anwar Ibrahim dan bekas speaker DUN Perak Sivakumar mahu mengadakan sidang khas DUN bagi menjalankan “vote of no confidence” terhadap Nizar. Untuk pengetahuan kedua-dua manusia di atas, perlembagaan tidak pernah menyebut bagaimanakah caranya untuk jelaskan “vote of no confidence” itu. Dalam kes Stephen Kalong Ninkan v Tun Abg Hj Openg & Tawi Sli (1966), sebuah surat ditandatangani oleh majoriti ADUN negeri Sarawak tidak diterima oleh mahkamah kerana ia dikatakan terdapat unsur penipuan dan tidak jelas. Tambahan pula tidak semua ADUN hadir ke persidangan khas terbabit. Ini menunjukkan bahawa surat ditandatangani boleh menjadi sah jika ia tidak terdapat unsur penipuan. Oleh itu, tidak disebut bagaimana cara “vote of no confidence” itu sewajarnya diadakan. Cukupkah dengan berjumpa dengan DYMM Sultan? Atau mengangkat tangan sebagai undian seperti kita lakukan untuk pilih ketua darjah dahulu? Atau dengan surat berserta tandatangan yang sah?

Oleh kerana ia tidak disebut, maka apa jua cara pun boleh diguna selagi ia boleh membawa perhatian DYMM ke atas isu terbabit. Saya difahamkan ketiga-tiga ADUN Bebas tersebut telah pun berjumpa mengadap ke-bawah Duli Tuanku untuk menyatakan pendirian mereka. Jangan dipersoalkan 28 ADUN BN yang lain kerana sudah tentu mereka menyatakan sokongan terhadap BN. Begitu juga 28 lagi ADUN Pakatan. Tumpuan kita seharusnya kepada 3 ADUN ini sahaja.

Perjanjian Yang Tidak Sah.

Saya juga difahamkan bahawa terdapat perjanjian tidak bertarikh ditandatangani oleh wakil-wakil Pakatan setelah menang dalam pilihanraya lalu. Perjanjian tersebut menyatakan mereka akan letak jawatan jika lompat parti. Persoalannya adalah ia tidak logik dan tidak sah dari segi undang-undang.

Artikel 10(1) (c) menyatakan hak warganegara untuk menyertai mana-mana persatuan, selagi ia berdaftar dan sah. Namun artikel 10(2)(c) menyatakan “parliament may by law impose on the right conferred by paragraph (c) of clause (1), such restriction as it deems necessary or expedient in the interest of the security of the Federation or any part thereof, public order or morality.”

Persoalannya disini adakah BN merupakan pertubuhan yang tidak bermoral dan mengancam keselamatan negara? Tidak bermoral kerana lompat parti? Dulu Nizar kata ia tidak salah dari segi undang-undang bukan?

Kesemua hujah diatas dibuat selepas saya merujuk kembali perlembagaan persekutuan dan undang-undang tubuh kerajaan Negeri Perak. Tindakan Karpal Singh yang mahu menyaman Sultan amatlah dialu-alukan demi membuktikan hujah saya diatas. Karpal tahu undang-undang ini, cuma oleh kerana beliau bertindak berkapasitikan posisi beliau sebagai pemimpin pembangkang, sudah tentu beliau tidak mahu mengalah. Datuk Ambiga Sreenevasan, President Bar Council dalam keterangannya kepada NSTP juga mengatakan Sultan mempunyai kuasa untuk memecat Nizar. Pakar perlembagaan dan pensyarah Fakulti Undang-undang UiTM, Prof Dr.Shad Saleem Faruqi dalam kenyataannya kepada Bernama juga bersetuju bahawa Sultan mempunyai kuasa esklusif terbabit.

Lebih menarik lagi, orang yang membuat keputusan ini ialah DYMM Sultan Azlan Shah sendiri yang juga merupakan mantan Ketua Hakim Negara. Sudah tentulah beliau telah mengkaji terlebih dahulu akan kesahihannya. Siapa Karpal Singh?

Detik Terkena Batang Hidung Sendiri.

untitledSuatu ketika dahulu Anwar kerap kali menyatakan bahawa beliau mahu merampas kuasa dengan beberapa ahli parlimen BN yang akan melompat ke Pakatan. Kini situasi telah berubah. Anwar telan ludah sendiri. Kepada penyokong Pakatan yang tidak berpuas hati, terimalah hakikat bahawa ini merupakan proses demokrasi yang kamu semua pernah perjuangkan dahulu sebelum 16 September 2008.

Saya juga berharap kenyataan saya kali ini dapat menenangkan perasaan penyokong Pakatan yang marah dan kecewa. Terima lah hakikat bahawa kita masih bersultankan Melayu, bukan bertuankan Anwar Ibrahim. Kita masih berbudayakan Melayu dan Malaysia, bukan kurang ajar dan derhaka, dan ini semua berlaku diatas “kebenaran” undang-undang itu sendiri, dan bukan dengan sesuka hati DYMM Sultan Azlan Shah. Daulat Tuanku!

Siddiq Azani,
Fakulti Undang-undang UiTM Malaysia.


4. "DUN Changkat Jering Dan Behrang Tidak Kosong - SPR," 3 Februari, 2009,
DUN Changkat Jering Dan Behrang Tidak Kosong - SPR

PUTRAJAYA, 3 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini memutuskan bahawa tidak berlaku kekosongan pada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kawasan Changkat Jering (N14) dan DUN Behrang (N59) dan kedua-duanya masih dipegang oleh penyandang kerusi berkenaan.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf berkata ini kerana SPR mendapati wujudnya keraguan terhadap kedua-dua surat peletakan jawatan Mohd Osman Jailu sebagai Adun Changkat Jering dan Jamaluddin Mohd Radzi sebagai Adun Behrang.

"SPR telah meneliti secara mendalam dan rapi daripada pelbagai sudut perundangan dan dengan ini memaklumkan bahawa SPR mendapati wujud keraguan terhadap surat peletakan jawatan oleh penyandang kedua-dua kerusi berkenaan.

"Ia juga memandangkan kedua-dua Adun itu secara sedar telah mengesahkan bahawa surat-surat berkenaan tidak berkuat kuasa," katanya kepada pemberita di sini.

Sehubungan itu, katanya SPR tidak dapat menggunakan kuasa di bawah Perkara 36 (5) Perlembagaan negeri Perak dalam memastikan berlakunya kekosongan luar jangka.

Terdahulu, Abdul Aziz mempengerusi mesyuarat khas selama hampir dua jam bermula pukul 11 pagi bagi membincangkan isu berikutan pengumuman Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak V. Sivakumar menerusi satu kenyataan bahawa Jamaluddin dan Mohd Osman telah pun menyerahkan surat meletak jawatan sebagai wakil rakyat di rumahnya pada Ahad lepas.

Sebaliknya, Jamaluddin dalam kenyataan dua muka surat yang ditandatanganinya dan diedarkan kepada media semalam, menafikan menghantar surat mengosongkan kerusi itu kepada Sivakumar, seperti yang dilaporkan.

Jamaluddin berkata laporan itu tidak berasas dan juga menafikan beliau melarikan diri, sebaliknya sedang bercuti sakit sejak Rabu lepas.

Mohd Osman pula membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Shah Alam semalam melalui wakilnya berhubung isu mengosongkan kerusi berkenaan.

Pada sidang media sama, Abdul Aziz turut mengesahkan menerima dua pucuk surat, iaitu satu daripada Sivakumar manakala satu lagi daripada Jamaluddin dan Mohd Osman pada hari yang sama iaitu semalam.

Mengulas sama ada SPR akan menjalankan siasatan berhubung isu berkenaan memandangkan ia pertama kali berlaku, Abdul Aziz berkata bukan tugas SPR untuk melakukan siasatan.

"SPR berpegang kepada dua surat yang diterima serta keputusan mesyuarat kali ini yang bermakna tidak perlu diadakan pilihan raya kecil bagi kedua-dua DUN berkenaan," katanya.

Abdul Aziz berkata salinan surat yang dihantar oleh kedua-dua Adun itu juga tidak menyatakan sama ada mereka akan menyertai mana-mana parti lain, sebaliknya hanya menyatakan surat yang dihantar oleh Sivakumar adalah tidak berkuat kuasa.

"Jika ada sesiapa yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu, mereka berhak membawa perkara berkenaan ke mahkamah dan terpulang kepada mahkamah untuk menimbangkan daripada aspek perundangan untuk membuat keputusan," katanya.

-- BERNAMA


5. "Dua Adun Perak Daripada PKR Letak Jawatan," 1 Februari, 2009,

Dua Adun Perak Daripada PKR Letak Jawatan

IPOH, 1 Feb (Bernama) -- Dua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang "hilang" sejak Isnin lepas hari ini mengumumkan peletakan jawatan serta-merta.

Yang Dipertua DUN Perak V. Sivakumar berkata Adun Behrang Jamaluddin Mat Radzi dan Adun Changkat Jering Mohd Osman Jailu menyerahkan surat peletakan jawatan itu di rumah beliau pada 5.45 petang Ahad.

Dalam kenyataannya yang difakskan ke pejabat media di sini, Sivakumar berkata beliau akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari.

"Surat peletakan jawatan kedua-dua Ahli Dewan Undangan Negeri telah diterima oleh saya berasaskan Artikel XXXV Undang-Undang Tubuh Negeri Perak Darul Ridzuan.

"Oleh yang demikian saya sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri mengisytiharkan kekosongan kedua-dua kerusi N14 Changkat Jering dan N59 Behrang dengan segera," katanya.

Sivakumar berkata beliau akan menghubungi SPR esok untuk mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari seperti yang termaktub dalam Artikel XXXVI (5) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

Kedua-dua Adun berkenaan tidak dapat dihubungi oleh kerajaan negeri dan keluarga mereka sejak Isnin lepas dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pagi tadi telah meminta kedua-dua Adun berkenaan supaya mengisytiharkan segera pendirian jika telah keluar daripada kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak.

Beliau berkata kerajaan negeri telah bersedia untuk membuat persiapan dan strategi mengikut peraturan yang ada bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Bercakap pada sidang akhbar selepas mesyuarat dengan pimpinan PAS, DAP dan PKR Perak, Mohammad Nizar berkata kerajaan negeri mungkin akan membuat laporan polis berhubung kehilangan dua anggota Exco itu selepas berbincang dengan keluarga mereka.

Jamaluddin, 52, adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perladangan manakala Osman, 57, adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan.

Kedua-dua mereka menghadapi tuduhan rasuah melibatkan kelulusan sebuah projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar dan perbicaraan kes berkenaan akan didengar di Mahkamah Sesyen di sini pada 10 Feb ini.

Dengan kekosongan dua kerusi berkenaan, kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang dianggotai PAS, DAP dan PKR kini mempunyai 30 kerusi, 18 DAP, 6 PKR dan 6 PAS, manakala Barisan Nasional 27 kerusi.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, BN menang 28 kerusi tetapi Adun Bota Datuk Nasaruddin Hashim menyertai PKR minggu lepas.

Mohammad Nizar berkata kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Perak masih kukuh walaupun dalam keadaan sekarang kerana semua Adun yang lain masih bersamanya.

Pada pilihan raya lepas, Jamaluddin menerima 6,771 undi untuk menewaskan calon BN Datuk M. Ramasamy yang mendapat 5,744 undi.

Mohd Osman pula menang dengan majoriti 1,102 undi bagi merampas kerusi Dun Changkat Jering. Beliau memperoleh 9,411 mengalahkan penyandang dari BN yang juga Yang Dipertua DUN Perak sebelum itu Datuk Mat Isa Ismail yang mengumpul 8,309 undi.

-- BERNAMA

6. "Teka-Teki Masih Mewarnai Kemelut Politik Negeri Perak," 2 Februari, 2009,

Teka-Teki Masih Mewarnai Kemelut Politik Negeri Perak KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) -- Adakah kerajaan pakatan antara DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berusia tidak sampai setahun, bakal runtuh? Adakah kekecohan politik melibatkan kerajaan negeri itu sekarang hanya ribut dalam cawan atau petanda bakal berlaku pergolakan yang bakal menyaksikan perubahan landskap politik negeri tersebut? Pada permukaannya, kemelut politik di negeri itu nampak biasa sahaja apabila dua anggota Dewan Undangan Negeri (DUN), Jamaluddin Mat Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) menafikan pengumuman Speaker V. Sivakumar semalam bahawa mereka telah mengosongkan kerusi masing-masing. Sehingga petang ini, kedua-dua Adun itu tetap dengan pendirian bahawa surat peletakan jawatan mereka yang diterima Sivakumar bukan daripada mereka. Ia surat tidak bertarikh ditandatangani mereka selepas pilihan raya umum 8 Mac lepas dan dalam hubungan ini, Osman hari ini membuat laporan polis di Shah Alam. Daripada satu segi, memang satu kesimpulan mudah iaitu tentulah kerajaan negeri mahu kedua-dua Adun itu "meletak jawatan" bagi imejnya memandangkan dua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) itu yang juga anggota Exco kerajaan negeri, sedang menghadapi tuduhan rasuah. Penafian dua Adun tersebut meletak jawatan bukanlah luar biasa kerana mereka baru saja dipilih sebagai Adun pada pilihan raya umum lepas dan tuduhan rasuah terhadap mereka belum terbukti di mahkamah. Bagaimanapun, spekulasi timbul apabila peletakan jawatan-penafian tersebut dikaitkan dengan aksi "hilang" Jamaluddin dan Osman sejak Isnin lepas dan terputus hubungan dengan kerajaan negeri. Ini berlaku selepas Adun Bota daripada Umno, Datuk Nasaruddin Hashim, Ahad lepas mengisytihar diri keluar daripada Umno untuk menyertai PKR dan berlaku perang psikologi antara PKR dan Umno masing-masing mendakwa beberapa Adun pihak lawan bakal menyertai parti mereka. Sementara itu, amaran keras Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bahawa parti itu akan menimbang secara serius untuk memanggil pilihan raya kecil sekiranya mana-mana wakil rakyatnya gagal dihubungi dalam tempoh 24 jam dikaitkan dengan "hilang"nya Adun Jelapang DAP, Hee Yit Foong, yang juga timbalan Speaker. Beliau muncul tengah hari semalam di kediamannya setelah dikatakan menziarahi ibunya di luar kawasan. Sama ada pilihan raya kecil bagi kawasan Behrang dan Changkat Jering akan diadakan belum diketahui. Sivakumar telah pun menyerahkan surat peletakan jawatan Jamaluddin dan Osman kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri hari ini dan mengulangi bahawa kedua-dua Adun itu telah meletakkan jawatan. Episod seterusnya mengenai status kedua-dua Adun itu hanya akan diketahui esok apabila SPR, menurut pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, mengadakan mesyuaratnya berhubung perkara itu. Daripada sudut perundangan, menurut seorang pemerhati politik pernah berlaku dalam kes Datuk Ong Kee Hui lwn Sinyium Anak Mutit pada 1983 telah diputuskan bahawa penandatangan surat peletakan jawatan yang tidak bertarikh adalah tidak sah. Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin mengelak media selepas menghadap Sultan Perak hari ini dipercayai berkaitan perkembangan di negeri itu. Bagaimanapun, Exco kanan Datuk Ngeh Koo Ham menegaskan kepada pemberita di Ipoh bahawa kerajaan negeri tidak bercadang membubarkan Dewan Undangan Negeri, sebaliknya mahu pilihan raya kecil diadakan. Sementara DAP dan PAS kelihatan sama pendirian berhubung dengan isu peletakan jawatan Adun PKR, timbul tanda tanya apakah asas dan sebab-sebabnya kepimpinan PKR negeri tidak sehaluan dengan parti rakan dalam pakatan mereka. Kerajaan pakatan pembangkang negeri Perak kini menguasai 32 kerusi, iaitu 18 DAP, lapan PKR dan enam PAS, manakala BN 27 kerusi. -- BERNAMA

7. "Two views on moving a no-confidence vote," 26 April, 2008,

Two views on moving a no-confidence vote

© New Straits Times (Used by permission)
by B. Suresh Ram

KUALA LUMPUR: Can a vote of no-confidence be tabled against the prime minister or the government in the Dewan Rakyat?

While former Dewan Rakyat secretary Datuk Abdullah Abdul Wahab said this was impossible, Universiti Teknologi Mara Professor of Law and legal adviser Dr Shad Saleem Faruqi disagreed.

Abdullah said the standing orders in the Dewan Rakyat did not allow for such a motion.

Even if an attempt was made, it would be "killed" by the Barisan Nasional-appointed speaker who had the right to determine, after consulting the government, if there was a need for such a motion.

He said there were no provisions enabling the passing of such a motion in the house.

"The situation has never arisen which warrants a need for a show of confidence in the government or leader of the house," Abdullah said.

Faruqi, however, felt that Article 43(4) of the Federal Constitution allowed for a vote of no-confidence against the prime minister and the government.

He said there was, however, no specific procedure for such a move and that it could come in the form of a motion tabled by a member of parliament.

"At the end of the day, it is up to the speaker to use his discretionary powers on whether to allow such a motion."

Both were commenting on the matter following statements by the opposition that its MPs would be moving a motion of no-confidence against Prime Minister Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi in the Dewan Rakyat.

On March 28, Pas vice-president, Datuk Husam Musa, said the party may table a motion of no-confidence against Abdullah when parliament convenes on Tuesday.

Two weeks later, de facto Parti Keadilan Rakyat leader Datuk Seri Anwar Ibrahim played down the issue by saying that Pakatan Rakyat would not move such a vote at this juncture.

He said the closest to a vote of no-confidence the government had faced was a motion to deduct a minister's salary over an alleged misdeed.

Such motions, tabled at the policy stage when the finer details of the budget are being debated, are normally defeated, thanks to the overwhelming Barisan Nasional majority in the house.

BN, with 140 MPs to the opposition's 82, can still defeat such motions with ease.

Abdullah said the opposition could resort to other ways to question the prime minister or the government on specific issues.

These include:

- a motion under Standing Order 18, referred to as the adjournment speech, where an MP has to provide 24 hours' notice to call for the adjournment of the house to discus a definite matter of urgent public importance;

- an emergency motion which can be moved with an hour's notice to the speaker where the government should allow it and possibly explain why there was no need for it; and,

- a motion moved by an MP under Standing Order 27(3) where he has to provide 14 days' notice.

Ultimately, all motions need to be approved by the speaker.

Motions of no-confidence have been tabled in state assemblies on several occasions.

It happened to first Sarawak chief minister Datuk Stephen Kalong Ningkan in 1966, Selangor menteri besar Datuk Harun Idris in 1976 and Kelantan menteri besar Datuk Mohd Nasir in 1977.

No comments: