Label Cloud

Tuesday, May 27, 2008

Pemimpin Pemusnah

Apabila musuh menyokong ketua pasukan lawannya, kita boleh ramal ada sesuatu yang tidak kena berkenaan dengan ketua tersebut.

Inilah yang kita sedang lihat berkenaan dengan Presiden UMNO sekarang. Secara langsung dan tidak langsung kita lihat ketua-ketua parti lawan menyokong pengekalan Dato Seri Abdullah Badawi sebagai ketua atau Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

Demikian Karpal Singh, musuh ketat UMNO menasihatkan saya supaya bersara dan tidak campurtangan dalam urusan kepimpinan Dato Seri Abdullah Badawi.

Dato Seri Anwar Ibrahim pula menyata secara terbuka kepada The Straits Times (Singapura), jika Abdullah teruskan (kepimpinannya) “it is also good for us because he is weak” (Jika Abdullah terus (memimpin) ia adalah baik bagi kita (parti lawan) kerana dia lemah).

Pemimpin-pemimpin PAS secara peribadi membuat kenyataan yang sama.

Mungkin ini adalah strategi parti lawan untuk menjatuhkan Dato Seri Abdullah. Tetapi mereka tidak pernah berkata demikian berkenaan Presiden-Presiden UMNO yang terdahulu atau berkenaan pemimpin Perikatan, Barisan Nasional dan parti-parti komponen yang lain.

Mereka juga tidak pernah berkata demikian terhadap Dato Seri Abdullah sebelum dia memimpin Barisan Nasional dan UMNO dalam kekalahan yang teruk pada 2008.

Walaupun demikian pemimpin-pemimpin parti-parti lawan ini tidak pernah betul-betul serang Dato Seri Abdullah sejak dia mengambil alih teraju Barisan Nasional dan UMNO pada 2003 hingga 2008 sepertimana mereka mengecam dan mencerca pemimpin-pemimpin Perikatan, Barisan Nasional dan UMNO sepanjang masa dahulu. Kenapa?

Kemungkinan besar mereka sedar bagaimana ahli dan penyokong setia Barisan Nasional telah hilang kepercayaan dan benci kepada Dato Seri Abdullah. Mungkin mereka berharap kebencian ini akan berterusan dan mengurangkan sokongan mereka kepada Barisan Nasional. Ini sahaja boleh memberi kemenangan kepada parti lawan di kawasan-kawasan tertentu dalam Pilihanraya Umum ke 13. Mungkin juga terlintas di hati mereka bahawa penyokong Barisan Nasional dan ahli-ahli parti Barisan Nasional akan kekal dengan pendirian mereka dan mengundi parti lawan.

Keputusan Pilihanraya 2008 menunjuk dengan jelas yang penyokong Barisan Nasional dan ahli parti Barisan Nasional telah sabotaj (mengikut pendapat Dato Seri Abdullah sendiri) Barisan Nasional, telah undi parti lawan, telah menyebabkan calon-calon Barisan Nasional kalah di kawasan-kawasan tradisional mereka. Sesiapa sahaja yang dicalonkan oleh parti lawan, -- posmen, penjaja, penyanyi karaoke – menang melawan Barisan Nasional.

Walau apapun alasan yang diberi oleh Dato Seri Abdullah dan konco-konconya, parti-parti lawan sedar bahawa kemenangan mereka yang besar di sebabkan oleh Dato Seri Abdullah, cara pentadbirannya dan tindaklakunya. Barisan Nasional telah kalah di lima negeri dan satu wilayah dan tidak dapat 2/3 daripada kerusi Dewan Rakyat.

Jika kepimpinan Dato Seri Abdullah diteruskan, sokongan kepada Barisan Nasional tetap akan terus merosot lagi sehingga kalah diperingkat pusat. Kemungkinan ini menjadi lebih besar jika parti-parti pembangkang dapat dirikan pemerintahan yang baik di negeri-negeri dimana mereka berkuasa. Penyokong Barisan Nasional yang berpaling tadah mungkin akan kekal dengan pendirian mereka kerana ini. Dengan itu tak mungkin lagi Barisan Nasional menawan semula negeri-negeri yang telah ditawan oleh parti lawan.

Dan yang buruk sekali ialah kemungkinan Barisan Nasional kalah diperingkat Pusat. Apabila hilang kuasa diperingkat pusat, kehilangan kuasa ke atas kewangan negara, ke atas dasar-dasar negara, pentadbiran negara dan lain-lain kekuatan yang datang bersama dengan pemerintahan peringkat pusat, Barisan Nasional dan UMNO tidak mungkin lagi memperolehi kuasa di negara tercinta ini.

Inilah musibah yang dijanjikan oleh pengekalan kepimpinan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi. Segala keistimewaan Bumiputra dan Melayu akan terancam dan mungkin hilang terus, walau apa pun janji oleh pihak lain.

Mereka yang hari ini mempertahankan pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi harus fikir dengan mendalam. Mungkin mereka akan perolehi nikmat untuk diri sendiri untuk menjadi Menteri, Timbalan Menteri; untuk dapat kontrak atau jawatan tertentu dalam parti di waktu ini.

Tetapi apabila kuasa sudah tidak ada pada Barisan Nasional nikmat tidak akan diperolehi lagi. Lebih dari itu anak cucu pun tidak akan mendapat nikmat lagi.

Ingatlah keuntungan hari ini boleh membawa kecelakaan pada hari kemudian.

Pemimpin yang disokong oleh parti lawan bukan pemimpin sebenarnya. Pemimpin yang disokong oleh parti lawan akan memusnahkan kita.

Oleh itu bertindaklah sekarang sebelum terlalu lewat. Kita tidak punyai masa. Jika Dato Seri Abdullah tidak letak jawatan sekarang masa untuk memulih semula UMNO dan Barisan Nasional akan jadi terlalu singkat sebelum Pilihanraya ke 13.

By Tun Dr. Mahathir Mohammad

No comments: